Bismillahirrahmanirahim.
Aurat
: Apa Sudah Jadi ?
Oleh
Ust
Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
Semasa saya memberikan kuliah
kepada satu kumpulan wanita yang terdiri dari golongan professional termasuk
para Datin di satu daerah, ketika itu, sedang heboh isu wanita seksi ditangkap
di sebuah kelab malam. Lalu timbul isu hak peribadi wanita untuk memakai apa
jua pakaian yang diingininya, termasuk yang seksi. Lalu, semasa kuliah ini saya
mengambil peluang bertanya kepada kumpulan wanita ini soalan mudah berikut :-
"Apakah agaknya sebab
wanita ingin memakai seksi dikhalayak ramai? Dengan skirt pendek, atau baju
sendat dan nipis?"
Ada di antara mereka mula
memberikan pandangan, tetapi kerana terlampau ramai yang bercakap, saya tidak
mendengar butirannya. Apabila saya meminta seorang wakil, seorang menjawab
dengan yakin.
" Untuk nampak cantik
ustaz..." katanya sambil tersenyum malu.
Saya bertanya pula :
"Agaknya kepada siapa nak ditunjukkan kecantikan itu?"
"Tentulah kepada kaum
lelaki ustaz, kaum wanita pun iye juga.." sambungnya.
"Baiklah, jika lelaki
tersebut sudah tergoda dengan kecantikan tu, lalu ingin menyentuh bahagian
indah yang dilihatnya boleh tak ?" Tanya saya menguji.
" Isyh, ustaz ni..
tentulah tak boleh ustaz, dah kira ‘sexual harassment' (gangguan seksual) tu
ustaz" dengan yakin sekali hujjahnya kali ini.
"Jika demikian, tidakkah
para wanita merasakan, tindakan mereka yang memaparkan bahagian yang menarik di
tubuh mereka itu juga merupakan gangguan seksual kepada lelaki?" Tambah
saya.
" Erm, macam mana tu
ustaz?" Tanya mereka dengan nampak sedikit bingung sambil berkerut dahi.
"Ye la, bila orang lelaki
yang dah naik syahwatnya tu, kerana kecantikan peha wanita tu contohnya,
mestilah terganggu syahwatnya, lalu terdetik keinginan seksualnya secara tidak
terkawal" .."Kerana itu saya katakan berpakaian seksi adalah suatu
bentuk gangguan seksual kepada orang lelaki di sekelilingnya"
"Cuba bayangkan, kucing
yang lapar diacah-acah dengan ikan ‘fresh' yang digoyang-goyankan di hadapannya
tentu geram kucing tu, malah silap haribulan, tentu diterkamnya muka orang yang
mengacah juga" Tambah saya lagi memberi keyakinan.
"Tapi perlu diingat, tak
semua kucing akan terkam, hanya yang amat lapar dan liar je, demikian juga
lelaki, tak semua lelaki gagal kawal nafsunya, tetapi tak dinafikan bahawa
ramai juga yang gagal dan liar"
"Akhirnya, kerana suasana
yang tak sesuai, mungkin kerana ramai orang dan di tempat awam pula,
terselamatlah wanita seksi itu dari terkaman lelaki liar tadi. Masalahnya, anak-anak
perempuan kecil berumur 7 hingga 12 tahun yang mungkin menjadi mangsa tempiasan
nafsu lelaki begini. Dan di ketika itu, samada wanita itu bertudung, berjubah,
kanak-kanak dan sebagainya tidak lagi mampu menahan nafsu si lelaki seperti
ini, asalkan suasana cukup sesuai (sunyi dan jauh dari pandangan ramai), akan
dilepaskan nafsunya secara kekerasan" Terang saya dengan panjang lebar,
mereka mengganguk dengan wajah serius kali ini.
Lebih terangnya, sama-sama
fikirkan adakah jika para wanita yakin bahawa jika anda berada di hadapan
Baginda SAW hari ini, adakah Rasulullah akan tersenyum atau sebaliknya? . Jika
sebaliknya, bagaimana pula peluang wanita seperti ini untuk mendapat Syafaat
Nabi SAW di akhirat kelak?. Benar, mungkin seseorang wanita itu berjaya meraih
pandangan istimewa dari kaum lelaki hasil pendedahan kecantikannya yang
memukau. Tapi keseronokan itu hanyalah palsu dan sementara sahaja, serta tidak
menambah sebarang nilai buat kehidupan kekal di Barzakh dan Akhirat selain
menambahkan tahap azab sahaja. Apa yang jelas, pakaian yang ditunjukkan oleh
wanita Arab yang solehah dengan penutupan aurat yang sempurna di zaman ini
sudah tentu boleh memberi sedikit info kepada kita bahawa inilah mugkin pakaian
yang dipakai oleh wanita Islam di zaman Nabi serta mendapat redha dari mata dan
hati baginda SAW. Tidakkah para wanita hari ini juga berminat meraih redha dari
mata dan hati baginda SAW?.
BENARKAH MENUTUP AURAT DAPAT
MENGELAK DARI WANITA DISAKITI?
Ramai wanita professional dan
yang kurang didikan agama hari ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini
disebutkan, mereka tidak percaya langsung fakta yang saya sebut diatas. Malah
ada yang berpendapat lelaki sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita
kerana ingin menunjukkan kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar
hujah ini di media massa. Hakikatnya, sebagai hamba Allah
SWT dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith
bagi mendapat kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara
itu. Dalam hal ini,
Allah SWT berfirman :-
"Hai Nabi! Katakanlah
kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min
semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka.
Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam)
supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)
Jilbab, iaitu pakaian yang
lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh
badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan
Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian
kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu
oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di
atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan
jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa
fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu
akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah
diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.
Jadi jelasnya, bahawa ayat
tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana bimbang
wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian
orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan
itu sendiri atau karena tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan
sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka
menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya
dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya
sasaran orang-orang yang suka berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram
fil Islam dengan sedikit pindaan)
Ayat ini juga jelas menunjukkan
bahawa salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT
adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari
diganggu dan disakiti.
Dan Hadis Rasulullah riwayat dari Bazzar dan At-Termizi menjelaskan, “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya.” |
No comments:
Post a Comment