Berbakti kepada ibubapa adalah wajib dan patut dilaksanakan sepanjang tahun
dan bukan pada hari-hari tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, masyarakat moden
hari ini menyambut hari-hari tertentu untuk memberikan penghormatan atas
jasa-jasa individu atau kelompok tertentu. Maka lahirlah beberapa hari Hari
Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, Hari Pekerja, Hari Jururawat dan lain-lain. Hari Ibu
disambut di sesetengah negara pada 21 Mac setiap tahun dan di sesetengah negara
lain seperti Malaysia pada 10 Mei setiap tahun. Sambutan ini sentiasa
mengundang perbahasan umat Islam tentang hukum menyambutnya.
Ulama’ berselisih pendapat dalam perkara ini dan secara umumnya mereka
terbahagi kepada 2 kelompok iaitu:
i) Kelompok yang
mengharamkan. Diantaranya ialah Al-marhum Sheikh Abdul Aziz bin Baz yang
secara jelas pernah mengeluarkan fatwa tentang sambutan ini. Asasnya ialah
kerana ia termasuk diantara perkara bid’ah dalam agama dan mengikut kepada
Barat (gharbiyyun).
ii) Kelompok yang
mengharuskan. Mereka mempersetujui bahawa sambutan ini juga adalah perkara
yang diada-adakan, tetapi ia bukanlah bid’ah dalam ibadat tetapi hanyalah
bid’ah dalam adat kebiasaan .
Pandangan kelompok
pertama adalah cukup mudah untuk difahami dan saya tidak berhasrat memanjangkan
di sini.
Pandangan kelompok
kedua boleh diperhatikan pada pendapat-pendapat beberapa ulama’ kontemporari.
Sheikh Faisal Mawlawi, Timbalan Pengerusi Majlis Fatwa dan Pengkajian Hukum
Eropah (Majlis ini dipengerusikan oleh Sheikh Professor Dr Yusuf Abdullah
al-Qaradawi) yang juga seorang pemimpin gerakan Islam di Lubnan (seangkatan
dengan Sheikh Dr Fathi Yakan) berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut
Hari Ibu tetapi dengan dua syarat:
i) Sambutan itu hanyalah penghormatan tambahan yang dilakukan
lanjutan daripada penghormatan sehari-hari yang diberikan selayaknya untuk ibu.
ii) Sambutan itu tidaklah dianggap sebagai satu perayaan dalam
mafhum Syarak iaitu menyamai Eid al-Adha dan Eid al-Fitri yang ada asasnya yang
jelas dalam nusus Syariah.
Dr Muhammad Bakar Ismail, Professor Tafsir dan Ilmu-ilmu al-Quran di
Universiti Al-Azhar al-Syarif memberikan pandangan seperti berikut:
“Hari ini dimana ibu
dimuliakan dan dinamakan dengan Hari Ibu adalah daripada bid’ah-bid’ah dalam
perkara adat dan bukan ibadat. Bid’ah dalam adat adalah tidak disuruh oleh
Islam dan tidak juga dilarang kecuali ia menghubungkan dengan agama daripada
dekat atau jauh. Jika adat ini lahir daripada pengiktirafan kepada kecantikan
dan menyeru kepada berlaku baik dan ihsan kepada orang yang berhak mendapat
kebaikan dan ihsan seperti ibu, bapa, datuk dan nenek, maka Islam memberkati
dan memperakui adat sebegini. Manakala jika adat ini lahir daripada perkara
yang sebaliknya, dan melakukannya juga melibatkan perkara-perkara yang buruk
dan dilarang oleh Islam seperti pemborosan, pembaziran, kelalaian dan
berbangga-bangga, maka Islam melarang daripadanya.”
Dr ‘Abdul Fattah
Asyur, seorang lagi ulama’ al-Azhar memberikan pendapat seperti berikut:
-Bahawa merayakan
beberapa hari yang padanya dimuliakan manusia atau menghidupkan ingatan-ingatan
yang baik, maka tidak seorang pun mengatakan bahawa program ini adalah perayaan
agama atau sebahagian daripada perayaan-perayaan Muslimin. Tetapi ia adalah
peluang untuk menunjukkan syiar perasaan yang baik terhadap orang-orang yang
berbudi kepada kita dan diantaranya ialah apa yang dikenali sebagai Hari Ibu.
Sesungguhnya bagi ibu kedudukan yang khusus dalam Islam dan juga dalam setiap
agama lain. Maka ibu wajib dimuliakan dan dirayakan.
Sheikh Hamid
al-Athar, ahli Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia (yang dipengerusikan oleh Sheikh
al-Qaradawi) memberikan pendapat seperti berikut:
-Perayaan Hari Ibu
pada suatu pada suatu hari yang dikhususkan (iaitu 21 Mac) pada pendapatku
adalah makruh dan tidak jauh hukumnya dengan haram, bukan disebabkan bid’ah
tetapi kerana mengikut orang-orang bukan Islam pada adat kebiasaan dan
perayaan-perayaan mereka. Telah datang beberapa hadith Rasulullah SAW yang
melarang umatnya daripada menyerupai Ahli Kitab antara lainnya ialah yang
didatangkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa
yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka.”
Dr Muhammad al-Banna
berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu dengan syarat:
i) Tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara yang diharamkan oleh Syariah
seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan.
ii) Tidak dimaksudkan untuk menyerupai orang-orang Barat dan bukan Islam.
iii)Hendaklah kandungan perayaan itu diteruskan sepanjang tahun iaitu tidak
terbatas kepada hari tersebut sahaja. (Sumber: UBM)
- KENYATAAN
JABATAN MUFTI SELANGOR -
SAMBUTAN YANG DI
ANJURKAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
1.Sambutan yang
dilakukan sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab
seorang Muslim terhadap Allah s.w.t. dan tidak bersifat membazir.
2.Sambutan yang
baik adalah dengancaramengasihi sesama sanak saudara melalui amalan
ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka, menzahirkan rasa syukur jika
senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa sebarang
musibah.
3.Sebaik-baik
sambutan adalah dengan mengadakan sembahyang berjamaah bersama ahli
keluarga, majlis tahlil dan doa selamat, pesanan dan nasihat yang baik
serta dalam suasana yang mahabbah.
4.Setiap ibu bapa
perlu merenung kembali dan muhasabah diri ke atas amanah serta
tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka. Adakah kita telah memainkan
peranan sebagai pemimpin keluarga dengan penuh kasih sayang, melalui jalan
kebenaran untuk menikmati kedamaian hidup di dunia dan kebahagiaan
akhirat.
5.Setiap ibu bapa
perlu menyayangi dan melindungi ahli keluarga mereka daripada segala
bentuk ancaman akidah dan kelalaian dunia. Ibu bapa perlu menjadi contoh
terbaik di dalam keluarga dan disegani, dihormati serta disayangi oleh
ahli keluarga.
6.Setiap ibu bapa
perlu mewujudkan persekitaran yang baik dan selesa agar ahli keluarga
merasa selamat, dihargai dan dihormati dalam usaha melahirkan insan
syumul.
7.Setiap ibu bapa
perlu prihatin dan memainkan peranan bersama untuk membabitkan diri dalam
membanteras gejala sosial dan maksiat yang berleluasa dalam masyarakat,
melalui program amar makruf nahi mungkar bagi melindungi ahli keluarga
daripada terjebak.
8.Setiap ibu bapa
perlu memperingatkan dirinya perihal pentingnya peranan mereka dalam
menyemaikan nilai-nilai etika dan spiritual yang tinggi dalam kalangan
ahli keluarga mereka.
9.Setiap ibu bapa
mestilah mengambil langkah-langkah proaktif bagi mempertingkatkan
pengetahuan dan kemahiran keibubapaan (parenting skills) bagi menyediakan
anak-anak mereka untuk lebih berupaya menghadapi cabaran masa kini.
10.Didikan agama yang
sempurna adalah satu faktor perlindungan (protective factor) yang
mampu menyelamatkan manusia dari terjebak ke dalam perbuatan keji yang
hanya akan merosakkan dirinya sendiri. Apabila pegangan serta keutamaan
tidak lagi berkisarkan kepada tunjang agama yang kukuh, dengan mudah
sahaja seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang merugikan diri,
keluarga, masyarakat dan negaranya.
PENUTUP.
Harus diingat,
mengamal dan mengikut budaya asing, terutamanya dalam meraikan
hari-hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan tersebut,
sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran kerana perkara
seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak bahkan keimanan dan akidah,
serta menjatuhkan maruah agama Islam itu sendiri. Umat Islam diseru agar
tidak sesekali meniru budaya asing yang ternyata bercanggah apatah lagi ia
turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan. Adalah diharapkan semoga
dengan adanya garis panduan seperti ini akan dapat membantu umat Islam
bagaimana untuk meraikan sambutanHariBapa, Ibu, Kekasih dan yang
seumpamanya menurut perspektif Islam yang sebenar.
Disediakan oleh:
Jabatan Mufti Negeri
Selangor.
Wallahu ‘alam.
No comments:
Post a Comment